Muzik memberi jiwa pada alam semesta, memberi sayap pada akal, lalu menerbangkan imaginasi
Alatan Membranofon
Jenis-jenis alat yang mana sifat serta sumber bunyinya terhasil daripada bahan kulit yang diregangkan. Contoh alatan membranofon adalah seperti berikut :
Kompang
Kompang ialah sejenis alat muzik tradisional yang paling popular bagi masyarakat Melayu. Ia tergolong dalam kumpulan alat muzik gendang.Kulit kompang biasanya diperbuat daripada kulit kambing betina, namun mutakhir ini, kulitnya juga diperbuat dari kulit lembu, kerbau malahgetah sintetik. Pada kebiasaannya, seurat rotan akan diselit dari bahagian belakang antara kulit dan bingkai kayu bertujuan menegangkan permukaan kompang, bertujuan menguatkan bunyi kompang. Kini, gelung plastik turut digunakan. Terdapat dua bahagian kompang iaitu bahagian muka (ada kulit) dipanggil belulang. manakala, bahagian badan (kayu) dipanggil baluh.
Kompang perlu diletakkan penegang atau dipanggil sedak iaitu sejenis rotan yang diletakkan antara belulang dan baluh, sedak ini diletakkan bertujuan untuk menegangkan bahagian belulang dan menyedapkan bunyi kompang apabila dipalu. Alat muzik ini berasal dari dunia Arab dan dipercayai dibawa masuk ke Tanah Melayu sama ada ketika zaman Kesultanan Melaka oleh pedagang India Muslim, atau melaluiJawa pada abad ke-13 oleh pedagang Arab. Kompang biasanya berukuran enam belas inci ukur lilit dan ditutup dengan kepingan kulit pada sebelah permukaan. Ia mempunyai bukaan cetek dan dimainkan dengan memegang dengan sebelah tangan sementara dipalu dengan sebelah tangan yang lain.
Gedombak
Gedombak adalah gendang dua muka iaitu 'compound hole' tetapi pada sebelah permukaan besar sahaja telah diregangkan dengan kulit dan pada permukaan satu lagi (ponget) dibiarkan terbuka. Ia berbentuk seperti piala iaitu 'goblet-shaped'. Baluhnya diperbuat daripada kayu jenis keras, lazimnya daripada kayu nangka ataupun angsana. Pada permukaannya diregang ataupun dirambing dengan belulang daripada kulit kambing sebagai bahan bunyi dengan menggunakan kaedah siratan tali rotan yang halus. Dalam konteks persembahan, ia disertakan secara berpasangan iaitu 'Ibu' dan 'Anak' dan dimainkan oleh dua orang pemain untuk mengiringi teater tradisional seperti Wayang Kulit dan Menora yang terdapat di Kelantan. Dalam ensemble Menora yang terdapat di Perlis, alat Gedombak juga disertakan secara berpasangan. Gedombak 'Ibu' mampu menghasilkan pic suara yang lebih rendah daripada 'Anak' tetapi mempunyai ukuran yang sama pada baluhnya. Dalam proses penalaan bunyi, kayu berbaji juga digunakan. Ia dipalu dengan sebelah tangan manakala tangan sebelah lagi digunakan untuk mengimbangi di antara suara-suara mnemonik iaitu 'doh', 'phat' dan 'ting' dengan melakukan kaedah buka dan tutup pada permukaan kecilnya yang sedia terbuka itu.
Rebana Ubi
Rebana Ubi adalah sejenis alat muzik yang dikelaskan sebagai gendang, dan dimainkan dengan cara dipukul dengan pemalu. Rebana ubi lebih besar dari rebana biasa. Diameter rebana ubi adalah sekurang-kurangnya 70 cm dan tingginya hampir satu meter. Bergantung kepada saiznya, rebana ubi boleh digantung melintang atau diletakkan di atas lantai.
Pada masa dahulu, rebana ubi digunakan untuk tujuan komunikasi jarak jauh. Rebana ini diletakkan di atas bukit dan dimainkan mengikut rentak tertentu bergantung kepada berita yang ingin disampaikan, dari pengumuman majlis pernikahan hinggalah kepada amaran bahaya. Kini, rebana ubi hanya digunakan dalam upacara istiadat atau persembahan tertentu.
Beduk
Beduk adalah alat muzik pukulan seperti gendang. Beduk merupakan instrumen musik tradisional yang telah digunakan sejak ribuan tahun dahulu, yang memiliki fungsi sebagai alat komunikasi tradisional, baik dalam kegiatan ritual keagamaan mahupun politik. Di Malaysia, sebuah beduk kebiasaannya dibunyikan untuk pemberitahuan mengenai waktu solat atau sembahyang di masjid-masjid. Beduk diperbuat daripada sepotong batang kayu besar atau pohon enau sepanjang kira-kira satu meter atau lebih. Bahagian tengah batang dilubangi sehingga berbentuk sebuah tabung besar. Hujung batang yang berukuran lebih besar ditutup dengan kulit binatang yang berfungsi sebagai membran atau selaput gendang. Apabila ia dipukul, beduk menghasilkan bunyi yang kuat, bernada khas, rendah, tetapi dapat didengari dalam jarak yang cukup jauh.
Gendang
Jidur
Gendang (bahasa Jawa : Kendhang, bahasa Melayu : Gendang, bahasa Tausug/Bajau bahasa Maranao : Gandang) ialah alat bunyian yang diperbuat daripada kulit binatang seperti kerbau, kambing atau lembu. Ia merupakan salah sebuah alat muzik dalam keluarga genderang. Setiap bangsa seperti Cina, Melayu dan India mempunyai gendang dengan nama yang tersendiri. Gendang boleh didapati dalam pelbagai saiz dan kegunaan. Ada gendang yang digunakan untuk persilatan bagi orang Melayu. Ada gendang digunakan bagi tari menari dan ada juga yang digunakan untuk menyambut perayaan atau pertabalan Diraja.
Gendang Melayu dimainkan oleh masyarakat melayu mempunyai muka yang berlainan saiz. Satu muka dipasang dengan belulang lembu dan satu muka dipasang dengan belulang kambing. Belulang tersebut disirat dengan tali rotan dan dililit dengan rotan yang dibelah dua. Belulang itu ditegangkan dengan memasang gelung-gelung yang diperbuat daripada rotan. Badanya diperbuat daripada kayu nangka dan dipanggil temiang. Temiang berdekatan dengan muka besar, melengkung sedikit dan dililit dengan rotan. Gendang ini ada 2 saiz, yang besar dipanggil gendang ibu dan yang kecil dipanggil gendang anak. Gendang ini dimainkan dengan cara meriba dengan kedudukan melintang dan permukaannya dipalu dengan tapak tangan. Cara gendang ini ditala (tune) ialah dengan cara mengetatkan talinya. Ianya dimain ketika persembahan silat, wayang kulit atau main puteri.
Dalam kalangan masyarakat Iban di Sarawak, gendang merupakan alat muzik tradisional yang sering digunakan terutamanya semasa majlis, perayaan-perayaan atau upacara-upacara tertentu seperti Hari Gawai. Biasanya hanya satu jenis gendang masyarakat Iban. Gendang ini diperbuat daripada kayu yang ditebuk memanjang. Permukaan gendang agak kecil lebih kurang satu jengkal diameter (8 inci). Panjang gendang lebih kurang 1 meter. Permukaan gendang dipasang dengan kulit binatang seperti kulit kijang atau rusa yang ditegangkan dengan rotan. Gendang dimainkan dengan cara meriba dan dipalu dengan tapak tangan sahaja.
Jidur merupakan sejenis alat muzik dalam keluarga gendang, yang mempunyai bingkai kayu dan bertutup dengan belulang pada bukaan besar. Jidur biasanya dimainkan secara duduk. Ia dimainkan dengan memalu dengan menggunakan dua batang pemalu. Jidur adalah alat muzik yang berasal daripada jawa, berbentuk drum yang mempunyai kedua-dua belah muka yang dipasangkan kulit kambing. Ia dimainkan untuk menyulam alunan dan gema kumpulan kompang. Namun begitu tidak semua mazhab kompang boleh mengadaptasi pukulan jidur di dalam permainan kompang mereka. Ia bergantung kepada mazhab kompang tersebut, dan kesesuaian irama kompang yang dimainkan. Namun begitu jidur telah berkembang menjadi satu trend irama permainan kompang kerana ada yang berpendapat ia menambahkan lagi gegak gempita suasana perarakan dan meriah. Jidur terdapat dalam pelbagai saiz seperti 20 inci, 18 inci, 16 inci dan 14 inci.