Muzik memberi jiwa pada alam semesta, memberi sayap pada akal, lalu menerbangkan imaginasi
Alatan Idiofon
Jenis-jenis alat yang mana suaranya dapat dihasilkan secara spontan melalui kaedah-kaedah seperti laga, goyang dan ketukan mengikut keadaan dan bentuk semula jadi sesebuah alat ini. Berikut merupakan jenis-jenis alat idiofon dalam budaya muzik masyarakat melayu tradisi :
Knobbed Gong
Knobbed Gong merupakan sejenis alat muzik 'idiofon' yang berasal dari Asia Selatan dan Asia Tenggara. Gong telah wujud semenjak zaman gangsa lagi dari Yunan. Gong juga dimainkan bagi mengiringi permainan wayang kulit di Malaysia. Gong merupakan alatan penting yang berperanan sebagai bunyi tulang belakang dalam persembahan muzik gamelan.
Alat muzik ini mempunyai 'busut' atau 'tombol'. Ia diperbuat daripada bahan asas seperti tembaga, timah dan besi. Gong terdiri daripada pelbagai saiz untuk menghasilkan bunyi yang berbeza setiap satunya dan dimainkan bersama-sama mengikut rentak lagu.
Kebiasannya, 1 atau 2 drum turut dimainkan serentak untuk mempelbagaikan irama muzik yang lebih unik. Gong telah banyak dijumpai di seluruh semenanjung Indochina dan kepulauan Nusantara sebagai alat utama dalam upacara khas dan persembahan muzik tradisional.
Slabbed-Type
(Saron)
Alat idiofon yang berbentuk bilahan ataupun slab-typed yang diperbuat daripada perunggu. Bilah-bilah tadi disusun di atas tapak kayu sebagai ruang gema. Merupakan alat penambahan baru bagi ensemble Gamelan Melayu. Berperanan sebagai alat melodi yang menggandakan melodi pokok.Dalam proses penghasilan bunyi, kayu pemukul khas digunakan, lazimnya dari jenis yang lembut.
Dalam tradisi Gamelan yang berkembang di Johor, Saron digunakan sebagai alat melodi yang membawa melodi pokok dan juga bunga-bunga lagu mengikut irama-irama tertentu yang lebih bersifat dekoratif.Bilahan bagi alat Saron tersebut lazimnya diperbuat daripada besi yang menggunakan teknik kikir dan tempa.
Tubed-Type
(Angklung)
Tubed-type merupakan alat idiofon yang digoyang. Ianya diperbuat daripada pipa ataupun tabung buluh yang terpilih. Sebuah Angklung lazimnya terdiri dari dua hingga empat tabung yang diikat pada 'rumahnya' yang dikenali sebagai 'ancak'. Angklung untuk melodi dilaras dalam jarak ataupun jeda satu oktaf di antara satu sama lain. Permainan muzik Angklung sering dipersembahkan secara berkumpulan untuk majlis keraian dan juga iringan tarian seperti 'Kuda Kepang' dan 'Barungan' yang mula berkembang di Johor.
Dalam persembahan Kuda Kepang, lazimnya tiga ataupun empat buah Angklung digunakan untuk mode rithme sebagai pelengkap kepada fizikal lagunya yang disertai bersama alat-alat dari disiplin Gamelan. Tradisi kesenian muzik Angklung yang berkembang di Malaysia sekarang ini adalah berasal dari Tanah Jawa, Indonesia. Proses penalaan Angklung dilakukan dengan melaras bibir alat dan ketukkan pada kakinya ataupun ditiup pada bibirnya.