top of page

Alatan Erofon

Jenis-jenis alat yang mana sifat serta sumber bunyinya terhasil melalui peniupan ataupun hembusan angin. Contoh alat seperti :

Seruling

Seruling ataupun flut ialah sebuah alat muzik dari famili alat tiup kayu atau 'woodwind'. Berlainan dengan alat rid, seruling ialah sebuah alat aerofon atau alat tiup tanpa rid yang mengeluarkan bunyi daripada aliran udara yang merentasi lubang. Ia diperbuat daripada buluh satu ketika dahulu. Namun kini seruling moden ada yang diperbuat daripada logam aluminium dan plastik. Cara memainkannya adalah dengan meniup. Akan tetapi cara meniup seruling hendaklah betul bagi mengeluarkan bunyi yang baik. Mengikut klasifikasi instrumen muzik Hornbostel-Sachs, seruling atau flut dikategorikan sebagai alat tiupan pinggir. Selain suara manusia, seruling merupakan alat muzik yang tertua. Beberapa seruling berusia 35,000 ke 43,000 tahun diketemu di wilayah Swabian Alb Jerman

Seruling mengeluarkan bunyi apabila aliran udara merentasi sebuah lubang. Aliran udara ini menyebabkan getaran udara yang bermula pada lubang tersebut. Aliran udara yang merentasi lubang menyebabkan kesan 'Sifon' atau kesan 'Bernoulli'. Ini menggetarkan udara yang lazimnya terkandung di dalam rongga resonan silinder di dalam seruling. Peniup seruling menukar pic bunyi dengan menutup atau membuka lubang pada badan alat, dan dengan itu menukar panjang berkesan alat penyalun dan frekuensi resonan. Peniup juga dapat menukar 'pic not' agar menyalun pada frekuensi harmonik dan tidak frekuensi asas, tanpa membuka atau menutup lubang dengan mengubah tekanan aliran udara.

Serunai

Serunai, atau juga disebut puput serunai, adalah nama alat muzik aerofonik (tiup) yang terkenal sebagai alat muzik tradisional bagi masyarakat Minang. Bahagian yang unik bagi serunai ialah bahagian hujungnya yang mengembang, berfungsi untuk memperbesar volume suara. Puput serunai biasanya dimainkan dalam acara-acara adat yang ramai, seperti upacara perkahwinan dan sebagainya. Alat muzik ini juga biasa dimainkan secara bebas, baik perseorangan, pada saat menanam padi atau saat bekerja di ladang. Muzik serunai juga popular untuk mengiringi pertunjukan pencak silat masyarakat Minang. Dalam sesebuah penampilan, serunai dapat dimainkan secara solo (sendirian), dan dapat digabungkan dengan alat muzik tradisional yang lainnya, seperti gendang dan sebagainya.

 

Dalam permainan wayang kulit Kelantan, serunai menjadi salah satu alat yang penting untuk mengiringi lagu-lagu yang dikehendaki oleh dalang di samping alat muzik yang lain seperti gong, gendang, geduk, gedombak, canang, dan kelenang. Terdapat dua jenis atau saiz serunai yang biasa digunakan permainan wayang kulit ini iaitu serunai besar dan serunai kecil. Serunai besar adalah serunai yang mempunyai suara rendah biasanya di pakai untuk mengiringi lagu-lagu yang tidak menggunakan nyanyian dalang sepenuhnya seperti lagu berjalan, pak dogol dan lain-lain lagi. Serunai kecil pula ialah serunai yang mempunyai nada suara yang tinggi, digunakan untuk mengiringi lagu-lagu nyanyian dalang khususnya lagu yang dipinjam daripada lagu makyung seperti lagu pakyung muda, lagu mengulik dan sebagainya. 

 

Serunai diperbuat daripada kayu yang dilarik berbentuk bulat dan mempunyai 3 bahagian iaitu kecopong atau patak, batang dan nali. Pada nali inilah dipasang pipit yang diperbuat dari daun tar (lontar atau kelapa laut) dilipat menjadi 4 keping diikat serta dipotong mengikut kesesuaian pada nali tersebut. Untuk mendapatkan pipit yang berkualiti maka perlulah melalui proses tertentu daripada mula menanam pokok tar, lokasi tempat, pemilihan daun, rebusan, pengeringan dan beberapa perkara lagi.

Nafiri

Nafiri merupakan sejenis alat muzik tradisional yang berasal dari kepulauan Riau di pulau Sumatera yang bentuknya mirip dengan terompet. Selain sebagai alat muzik, nafiri juga digunakan sebagai alat komunikasi bagi masyarakat Melayu terutamanya untuk memberitahu tentang adanya bencana, dan berita tentang kematian. Pada zaman kerajaan dulu, nafiri digunakan sebagai alat untuk menyatakan peperangan terhadap kerajaan lain. Selain itu juga, nafiri digunakan untuk memberitakan tentang kematian raja, diangkatnya raja. Alat ini juga digunakan untuk mengumpulkan rakyat, agar mereka segera datang ke alun-alun istana untuk mendengarkan berita atau pengumuman dari rakyat mereka. Oleh karena itu, alat ini dijadikan sebagai barang pusaka kerajaan.

 

Pada zaman kerajaan Melayu dahulu, nafiri merupakan salah satu alat yang penting untuk digunakan pada acara pertabalan raja selain sebagai alat muzik di istana. Pada kerajaan Melayu dahulu, alat pusaka Nobat seperti nafiri, gendang, sirih esar, dan cogan merupakan lambang negara atau yang biasa disebut dengan regelia kerajaan yang dijadikan sebagai kekuatan spiritual dan kehormatan kerajaan bersama dengan adat istiadat. Tanpa adanya alat-alat tersebut, pertabalan seorang raja tidak dapat disahkan. Di Kedah, nafiri bersama dengan alat-alat muzik nobat lainnya disimpan di dalam sebuah tempat yang bernama Balai Nobat.

   

Alat ini juga diperbuat daripada perak dan berukuran panjang 32 inci atau 33 cm. Bunyinya terdengar sayup-sayup. Nafiri dimainkan dalam muzik nobat dalam majlis hiburan kaum kerabat Diraja (kerajaan), mengiringi istiadat-istiadat istana, istiadat pertabalan, hari keputeraan Sultan, perkahwinan Diraja dan upacara sambutan Raja.

bottom of page